Mengapa Denny JA Menerima Penghargaan Sastra Kemanusiaan dan Diplomasi Tingkat Asean?

  • Whatsapp

Oleh:

DATUK JASNI MATLANI

(Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah, Malaysia, dan Penerima SEA Write Award, 2015)
 
Baru-baru ini telah berlangsung majlis penyampaian Anugerah Sastera Kemanusiaan dan Diplomasi ASEAN yang pertama.

Itu diberikan dalam Festival Penulis Sabah Ke-10, yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.

Penyelenggara acara adalah Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) dengan Kerjasama Kerajaan negeri Sabah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sabah, dan (JKKNS) Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).

Yang terhormat Tuan Haji Ir. Shahhelmey Yahya, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Sabah, telah menyempurnakan majlis penyamapaian anugerah yang gilang gemilang itu.

Penerima pertama anugerah berkenaan ialah Denny JA. Ia seorang penulis yang tidak asing lagi di rantau ini dan telah menulis dua genre baharu: puisi esei dan cerpen esei, yang semakin dikenali di peringkat ASEAN.

Ibu Debbi Oktarossa, Pelaksana Tugas Fungsi Sosial dan Budaya KJRI Kota Kinabalu, mewakili Bapak Konsul Jenderal Indonesia, Kota Kinabalu, Bapak Krishna Djelani, telah menerima anugerah itu bagi pihak Denny JA.

Puisi esei khususnya, kini tumbuh dalam masyarakat, merentas sempadan etnografi, demografi dan geografi. Puisi esai terus berkembang merentas negara, membentuk acuan yang tersendiri serta turut dikaji melalui pelbagai disiplin dan bidang ilmu.

Denny JA sendiri telah menghasilkan lebih 100 buah buku dalam pelbagai genre, tetapi yang amat dominan sekali ialah buku beliau di dalam genre puisi esei.

Puisi esei pada masa ini turut ditulis dan diperkatakan oleh beberapa orang tokoh penulis, sasterawan dan sarjana sastera yang ternama di Indonesia, Malaysia, Thailand, Brunei DS, Singapura, dan Australia.

Sebahagian besar puisi esei yang beliau hasilkan menyingkap persoalan sosial dan isu kemanusiaan.

Malah, puisi esei kini telah dimasukkan sebagai salah satu kosa kata dalam Kamus Besar Indonesia. Ia menjadi sebuah genre yang bergerak aktif, seterusnya melembaga di peringkat ASEAN dan global.

Denny JA merupakan seorang tokoh yang bertanggungjawab merintis dan mempopularkan puisi esei bukan sahaja di Indonesia tetapi juga di beberapa buah negara ASEAN.

Beliau lahir pada tahun 1963, berasal dari Palembang dan mendapat pendidikan hingga di peringkat Phd di Amerika Syarikat.

Beliau dikenali dalam dunia sastera karena muncul dengan genre puisi esei. Ketika itu, puisi konvensional menjadi genre yang eksklusif untuk para penyair sahaja dan tidak kepada masyarakat umum.  

Beliau memilih untuk melawan arus. Dalam setiap zaman mesti lahir seseorang yang muncul dengan aliran pemikiran baharu sesuai dengan konsep moden dan zaman yang sentiasa berubah di sekeliling.  

Dikehendaki atau tidak, perubahan tetap berlaku. Bagaimanapun perubahan itu mesti ditangani dengan baik, matang dan penuh pertanggungjawaban, serta berintegriti.

Jika perubahan itu disanggah, sanggahan mesti dilakukan dengan semangat intelektual dan hujah akademik yang munasabah.

Denny JA adalah sosok sasterawan generasi sekelas Chairil Anwar dan WS Rendra di Indonesia yang melihat puisi bukan lagi sebagai senjata untuk orang yang takut dan lemah.

Jika beliau menyuarakan isu sosial dan kemanusiaan tanpa diskriminasi merentas sempadan ASEAN, beliau mensejajarkan sejumlah fakta yang benar dalam dunia realiti yang antitesis dan melawan konvensi sastera terdahulu.  

Beliau ingin pesan sastera sampai pada khalayak, dimesrai dan didekati oleh  masyarakat umum. Dunia sudah berubah dan ditakluki oleh pelbagai dominasi baharu, innovasi teknologi, internet of things dan sebagainya.

Denny JA  memperkukuhkan  konsep sastera yang harus berkhidmat kepada siapa, dan mendukung konsep humanisme universal.

Seni untuk manusia. Sastera mencerminkan masyarakat dan mempunyai peranan yang positif dalam evolusi hidup serta proses perkembangan manusia.

Justeru, sastera tidak boleh dipisahkan dari kehidupan. Penulis harus menggambarkan kehidupan sosial secara realistik.

Melalui konteks itulah Denny JA merespon dengan puisi esei.

Dalam sebuah esei yang saya tulis terdahulu, berjudul “Manusia dan Kemanusiaan tanpa diskriminasi dalam puisi Esei Denny JA” yang disiarkan di dalam majalah Dewan Sastera keluaran bulan oktober tahun 2020, saya telah menyatakan.

Kemunculan puisi esei yang dipelopori Denny JA bukan sahaja menjawab fenomena dan persoalan masyarakat manusia dan kehidupan yang relevan di rantau ini.

Puisi esai juga ditulis melalui riset akademik. Selama ini dunia sastera tidak pernah mempraktekkan penciptaan karya itu seperti itu, sejak negara di rantau Asia Tenggara ini merdeka.

Kemunculan puisi esei menawarkan suatu bentuk pengucapan sastera yang lebih berjejak kepada dunia realiti. Ia merumuskan persoalan masyarakat dalam satu wacana yang secocok dengan wahana ilmu sains sosial.

Puisi esei memberi tafsiran baharu terhadap sastera. Ia mencungkil perkara yang selama ini tabu dalam dunia sastera. Ia membetulkan kekeliruan dan putar belit sastera. Ia menyerlahkan ambiguiti dan pengaburan pemikiran dan nuansa perasaan.

Puisi esei menghidupkan watak manusia yang sedar akan nilai-nilai yang dipegang secara bersama. Ialah kehidupan tanpa diskriminasi, berdasarkan nara sumber dan fakta sejarah yang berintegriti.

Puisi esai sekaligus membantu memperkaya dan memantapkan tradisi ilmu sains sosial dan kemanusiaan. 

Puisi esei menawarkan satu perspektif baharu kepada dunia sastera. Ia merungkai cara berfikir orang sastera yang tidak lagi terikat kepada konsep The captive mind yang dilihat oleh Syed Hussein Alatas (1974).

Jika The Captive mind melawan hegemoni Barat, puisi esai melawan hegemoni yang selama ini melembaga dalam dunia sastera.

Puisi esei melawan arus kebiasaan sastera. Selama ini sastera menjadi tempat paling eksklusif untuk para penyair asyik-masyuk dengan dunianya sendiri.

Apabila penyair gentar menghadapi kemelut dunia nyata yang menakutkan di sekeliling, maka mereka berkias dengan kata-kata indah. Mereka memberontak di belakang tabir dengan menyusun sejumlah kata-kata yang hanya difahami dirinya tetapi tidak untuk orang lain.

Apabila mereka melawan golongan establish atau golongan tirani sambil berpihak kepada manusia marhaen, mereka berbasa basi dengan nukilan kata-kata yang dipenuhi unsur ambiguiti.

Itu kerana ketakutan tertentu dan seribu satu macam alasan bagi menyelamatkan diri dan kepentingannya.

Apabila mereka menulis tentang cinta yang penuh pertentangan, dan tanpa restu, mereka bersembunyi di sebalik ungkapan yang menghilangkan perhatian masyarakat umum kepada kenyataan sebenar yang berlaku di dunia nyata.

Dengan kata lain, penyair menjadikan puisi sebagai rumah yang gelap dan misteri serta berjarak dengan komunitas yang lebih luas.

Mereka menimbunkan sejumlah kata-kata khas yang dipenuhi simbol, metafora, personafikasi dan sukar difahami. Mereka membina tembok yang tebal dan tinggi untuk menyembunyikan suara hati mereka kepada pengetahuan umum atas nama estetika.

Kata Sutardji Calzoum Bachri (2017), mereka menulis puisi yang sedaya upaya menutup atau melupakan kehidupan dan dunia nyata.

Kenapa demikian? kerana di dalam puisi gelap itu sejumlah kata-kata hanya istimewa untuk penyair yang menciptanya sahaja.

Proses memahaminya memerlukan kayu ukur atau pendekatan yang tidak mudah, dan asing bagi khalayak umum.

Bagaimanapun puisi esei muncul untuk melawan semua kelaziman dan hegemoni itu.

Penulisan bentuk puisi pada satu sisi mempertahankan kuasa kreatif dan unsur puitika.

Pada sisi lain, puisi esai turut mengungguli unsur dramatik, kisah sosial, dan ditandai sikap, pemikiran dan argumentasi yang menawarkan faktor penyelesaian yang bertimbang bagi fenomena kemanusiaan dan kehidupan.

Puisi esai menyediakan sejumlah catatan kaki, sumber berita, fakta dan data yang membijaksanakan dan memintarkan khalayak.

Menurut Sutardji Calzoum Bachri, puisi esei adalah puisi pintar. Puisi esai dengan berbagai cara, fakta, argumentasi, memberikan kepintaran kepada khalayak dalam memahami dan menghayati isu sosial.

Puisi esai berisi fenomena dan persoalan yang berkaitan dengan masalah dan konflik sosial.

Puisi esei menurut Prof. Madya Dr. Ramzah Dambul, (2020) bukan sahaja satu genre. Tetapi Ia merupakan satu gagasan dan gerakan persuratan yang lebih besar.

Denny JA ketika mewartakan kelahiran puisi esei tidak hanya mendefinisikan semula bentuk dan fungsi puisi sebagai karya kreatif (dalam masyarakat). Malah beliau turut memberikan makna dan arah tuju yang baharu.

Dengan kata lain, puisi esei adalah satu inovasi segar yang penting dalam perkembangan seni persuratan serantau.

Saya menegaskan dalam tulisan terdahulu. Puisi esei sudah menjadi dinamika baharu, inovasi segar yang penting dalam perkembangan seni persuratan serantau.

Disadari atau tidak, diakui atau tidak, gagasan puisi esei Denny JA, seperti yang dinyatakan oleh Prof Madya Dr. Ramzah Dambul, kini telah mencapai status sastera advokasi dan diplomasi.

Ini merupakan satu markat tertinggi dalam ukuran impak sastera. Ia bukan sekadar memberi gratifikasi mental dan hanya mencetuskan katarsis spiritual sebagai mana sastera konvensional yang tipikal.

Puisi esai mampu mengekspresikan sejarah (masyarakat) serantau yang jarang didendangkan selama ini, kembali didengar (didekati) melalui medium sastera.

Lebih unggul lagi, puisi esei sebagai satu gerakan telah mampu merentas sempadan, mengikat diplomasi sesama negara menerusi persahabatan persuratan serantau.

Berdasarkan ini, maka penghargaan yang diberikan kepada Denny JA, sangatlah tepat.

Denny JA memberikan sumbangan besar pada pembangunan kemanusiaan dan diplomasi ASEAN. Ia lakukan itu melalui genre sastera puisi esei dan cerpen esei yang dipeloporinya

Sebab itu, Tuan Haji Ir Shahelmey Yahya, berucap di majlis pelancaran Festival Penulis Sabah Ke-10. Itu penyampaian Anugerah Sastera Kemanusiaan dan Diplomasi ASEAN yang pertama.

Beliau menegaskan, Denny JA, sesungguhnya merupakan tokoh hebat dan bertuah. Ia dipilih sebagai penerima Anugerah yang sangat bergengsi ini buat kali yang pertama.

“Saya gembira dan bangga dengan pemberian anugerah ini, dan berharap ia berterusan serta menjadi suatu anugerah yang prestij di rantau ini.”

Penghargaan ini setanding dengan prestij anugerah SEA Write Award yang sudah pun dilaksanakan oleh kerajaan Thailand sejak 41 tahun yang lalu.

Dengan adanya anugerah ini dan penganugerahan kepada Denny JA, sebagai penerima anugerah yang pertama di Sabah, usaha kita untuk memperkasakan sastera dan budaya semakin muncul di permukaan.

Ini sesuai dengan iltizam kami hendak menjadikan Sabah sebagai dataran sastera dan budaya yang penting di rantau ini.

Sayang sekali Denny JA berhalangan hadir. Itu disebabkan masalah penutupan sempadan negara akibat bahana penularan virus pendemik Covid 19.

Tetapi ada ucapan balas Denny JA terhadap pemberian anugerah itu. Beliau berkata melalui rakaman vedio dan dipancarkan secara langsung ke Jakarta.

Denny JA amat berterima kasih kepada kerajaan Sabah dan Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) serta panel penilai anugerah berkenaan, karena memilih beliau sebagai penerima anugerah itu.

“Saya sangat ingin datang sendiri ke Sabah, berjumpa dan menerima anugerah itu, tetapi sayang masalah penularan virus pendemik Corona masih menjadi penghalang dan berleluasa penyebarannya.

Justeru, rakaman video ini mewakili saya, semangat dan gagasan saya untuk menerima penghargaan yang prestij itu.” Katanya.

Menyentuh tentang dunia puisi, khususnya puisi esei yang dipeloporinya, dalam ucapan ringkas itu, Denny JA mengemukakan soalan tentang siapa yang membunuh puisi?

Beliau mengabarkaj penyiaran sebuah tuilisan dalam koran Washington Post pada tahun 2015. Berita itu menunjukkan data pembaca puisi warga Amerika Syarikat terus menurun setiap tahun.

Itu disebabkan ketiadaan inovasi, pembaharuan dan penyegaran yang dilakukan terhadap puisi, walaupun ia merupakan suatu keperluan.

Di tahun 1992, riset menemukan di Amerika Syarikat hanya sekitar 20 persen populasi negara itu yang membaca puisi, sekurang-kurangnya hanya sebuah puisi.

Jumlah itu menurun menjadi hanya 6.7 peratus pada tahun 2012.

Disebabkan kajian itu dibuat setiap tahun, maka grafik menunjukkan penurunan drastik yang ketara berdasarkan data, fakta dan kajian saintifik.

Lingkaran Survei Indonesia yang dipimpin Denny JA turut membuat kajian yang sama pada tahun 2018. Riset ini mendapati hanya 6.2 persen warga Indonesia yang membaca sekurang-kurangnya sebuah buku sastera.

Dari 6,2 persen pembaca sastera, sebanyak 46.8 persen tidak mengingati judul buku dan nama pengarang yang mereka baca.

Hal ini memperlihatkan betapa menurunnya jumlah masyarakat baharu Indonesia yang mengenali sastera, lebih-lebih lagi puisi.

Kurangnya generasi milenia Indonesia mengetahui para penyair Indonesia yang terkemuka seperti Chairil Anwar dan W S Rendra (sekadar menyebut beberapa nama) dan itu agak membimbangkan.

Beliau kemudian mempersoalkan, mengapa pembaca puisi semakin berkurangan? Dalam hal ini beliau mengutip satu tulisan seorang ahli akademik dan pemimpin Yayasan Majalah Puisi yang tertua berusia lebih 100 tahun dan terkenal di dunia iaitu Poetry: A Magazine of verse, John  Barr.

Kritikus itu menyatakan, bukan khalayak awam yang meninggalkan puisi, sebaliknya puisi yang meninggalkan khalayak awam. Itu karena para penyair sudah tidak peka dan tidak memberikan respon kepada dunia yang semakin berubah.

Penyair tidak lagi bertindak balas terhadap isu semasa yang menjadi perhatian masyarakat.

“Para penyair hanya asyik dengan fantasi sendiri, berkomunikasi dalam kalangan kelompok penyair yang kecil, bersifat eksklusif.

Mereka hanya mengembangkan bahasa tahap tinggi yang semakin sukar difahami oleh khalayak awam. Akibatnya khalayak awam menjauhkan diri dari puisi” kata Denny JA.

Justeru itu Denny JA berkata, jika beliau dianggap sebagai seorang yang melakukan ijtihad budaya dan membantu mengembangkan puisi esei, itu adalah kerana puisi esei baginya merupakan respon beliau yang positif terhadap situasi semasa, dengan format yang berbeda.

Puisi esai memiliki catatan kaki dan memberikan perhatian kerpada isu semasa masyarakat, seterusnya disampaikan dalam bahasa yang popular, berbabak dan berkisah, serta mempunyai unsur drama.

Puisi esai juga melampaui teks kerana ia boleh diterjemahkan atau diadaptasi menjadi filem, animasi dan sebagainya. Ini sesuai dengan era digital dan internet of things hari ini.

“Jika saya mendapat anugerah dan mendapat penghargaan kerana memperkenalkan puisi esei ini, saya sungguh merasa tersanjung.

Sejak menulis buku puisi esei yang berjudul “Atas nama cinta” pada tahun 2012, secara prolifik telah terbit lebih 100 buah buku puisi esei. Ini menjadi bagian kekayaan sastera dunia.” Tegasnya.

Menurut Denny JA lagi, terdapat banyak hal yang fenomenal di Indonesia sehingga terbit pula 34 buah buku puisi esei, dari 34 buah provinsi di Indonesia. 176 buah puisi esei telah dihasilkan oleh penyair, penulis, wartawan dan aktivis dari Aceh hingga Papua.

Mereka menulis tentang local wisdom provinsi masing-masing. Pilihan puisi esei yang termuat di dalam 34 buah buku itu kini sedang berkembang menjadi 34 skenario filem pula.

Ketika berlaku penularan virus pendemik corona, beliau bersama para penyair dari Aceh hingga ke Papua, seterusnya dari Indonedia, Malaysia dan ke beberapa negara ASEAN yang lain, juga Australia.

Mereka semua merespon isu yang penting dan dianggap sebagai jeritan batin penulis di era virus corona. Suara mereka bukan sahaja didengar dalam bentuk rintihan dan keluhan tetapi juga harapan.

Khususnya dalam puisi esei dan cerpen esei yang beliau ilhamkan, dan kini telah difilemkan.

Tegasnya beliau melakukan pembaharuan melalui puisi esei dan cerpen esei, dengan sejumlah nota kaki, dan dengan bahasa yang popular. Beliau merasa bahawa puisi yang indah sebenarnya sebuah puisi yang diolah dengan bahasa yang mudah dimengerti bahkan oleh pelajar sekolah rendah (dasar) sekalipun.

Puisi esei telah melampaui teks dan dengan mudah diterjemahkan atau diadaptasi ke dalam bentuk filem dan sebagainya.

Justeru itu Denny JA berterima kasih, jika beliau dianggap ikut membawa puisi ke tengah gelanggang khalayak.

Puisi esei kini semakin popular dan turut dideklamasikan oleh Panglima Tentera dalam pertemuan penting partai politik di Indonesia.

Puisi esei Denny JA juga dibaca dalam pembukan pertemuan aktivis nasional. Ia juga turut dibaca di dalam berbagai program Talk show di kaca television.

Puisi esei Denny JA kembali membawa puisi ke tengah khalayak awam, sebagai genre sastera yang menghadiahkan keragaman sastera, dan dianggap sebagai genre sastera yang berbeda.

Siapa yang membunuh puisi? Denny JA menjawab puisi tidak terbunuh! Puisi tidak mati! Itu karena para pencinta puisi terus menghidupkan puisi dan melakukan inovasi serta pembaharuan.

Puisi esei datang sebagai sekuntum bunga di antara ribuan bunga dalam sebuah taman. Walau bagaimanapun bunga puisi esei yang satu itu membuatkan taman puisi berkenaan kembali harum dan berwarna warni.*

Maret 2021

beritalima.com
beritalima.com

Pos terkait